Segamat sememangnya sangat sinonim dengan durian, sebut sahaja nama daerah ini pastinya rata-ratanya akan teringat tentang keenakan buah itu. Boleh dikatakan daerah Segamat ini sebagai ‘syurga durian’ setiap kali tibanya musim raja buah.

Tanah bertuah ini merupakan daerah pengeluar terbesar durian Johor dengan keluasan tanaman sebanyak 4 372 hektar serta nilai pengeluaran berjumlah 10 456 tan pada tahun 2017 sahaja. Bagi yang sangat menggemarkan durian, harga bukanlah satu isu yang dipertimbangkan akan tetapi rasa dan kualiti durian terbabit yang menjadi perhatian.

Pelbagai jenis buah durian dan baka yang dijual di seluruh Malaysia. Setiap darinya tentunya mempunyai tekstur dan ciri duri yang belainan. Antara yang dijual di sini, termasuklah Musang King, XO, D24, Udang Merah dan D13 yang dikatakan berasal dari Segamat sendiri. 

DURIAN SEGAMAT

Kesemua jenis durian ini mempunyai rasa dan warna yang berbeza. Antara yang menjadi perhatian dan permintaan ramai ialah Musang King. Teksturnya berkrim, warnanya juga lebih kuning dari durian yang lain serta mempunyai rasa pahit manis. Bagi yang sukakan durian yang agak manis disarankan untuk mencuba D13, durian ini mempunyai rasa yang manis dan aroma yang tidak begitu kuat sesuai untuk yang baru pertama kali ingin merasa.  

Perkara menarik bila sahaja tiba musim durian, para penggemar durian boleh mendapatkan durian secara terus di kebun termasuk di gerai-gerai tepi jalan. Hal ini juga memberikan kebaikan kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan tambahan.

Antara ‘tempat panas’ membeli durian termasuklah di Kampung Jawa dan yang paling popular adalah di Buloh Kasap. Dikatakan durian di Buloh Kasap ini menjadi tumpuan kerana buahnya di datangkan terus dari kebun dan kualitinya juga dikatakan berada dalam keadaan baik. Manakala di Kampung Jawa, berhampiran masjid kampung dikatakan menjual buah durian berkualiti tinggi dengan harga yang murah berbanding dengan tempat lain. 

DURIAN SEGAMAT 2

Buah durian juga merupakan ikon kepada daerah Segamat, apabila menjadi daerah pertama yang tampil dengan identiti sendiri iaitu replika gergasi durian yang boleh didapati di Dataran Segamat dan juga di persimpangan lampu isyarat Taman Yayasan.

Sebagaimana, hebatnya buah manga harum manis diperkatakan di Perlis, begitu jugalah kehebatan buah durian Segamat yang sentiasa meniti di bibir rakyat kita dan penduduk luar yang sentiasa mendambakan keenakan buah keluaran tanah ini.

 

DURIAN SEGAMAT 3

REPLIKA BUAH DURIAN YANG TERDAPAT DI DATARAN SEGAMAT