Kemudahan Asas Felda Medoi

 

Kemudahan asas dan kemudahan awam adalah keperluan orang ramai, walaupun tidak semua penduduk memerlukan kemudahan awam. Kebanyakan kemudahan tersebut disediakan oleh kerajaan untuk dikongsi oleh penduduk yang memerlukan. Terdapat juga di sesetengah tempat, kemudahan awamnya disediakan atau ditaja oleh pihak swasta. Di Felda ini, keperluan asas peneroka telah disediakan sebaik mungkin. Jalan raya yang dibina telah membolehkan penduduk bergerak dari Felda ke kawasan-kawasan lain, malah ke seluruh Malaysia.

 

Bagi sistem perhubungan, perkhidmatan telefon berwayar dan telefon selular juga boleh diperolehi dengan mudah. Kemudahan elektrik dan air tidak menjadi masalah kepada semua penduduk. Begitu juga dengan perkhidmatan internet yang dilanggan oleh sesetengah penduduk. Biasanya bagi penduduk kampung, internet lebih diperlukan oleh anak-anak mereka yang menggunakannya untuk tujuan pembelajaran, mendapatkan maklumat atau bagi tujuan komersial. Kemudahan awam yang boleh didapati di Medoi ialah surau, perpustakaan, taman rekreasi dan riadah dan lain-lain. Turut disediakan ialah sekolah-sekolah tadika dan sekolah rendah. 

 

Perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan adalah percuma kecuali bagi perkhidmatan telefon awam, elektrik dan air. Penduduk akan dikenakan bayaran mengikut kadar penggunaannya. Wisma Belia juga adalah antara kemudahan yang disediakan bagi penduduk Felda Medoi yang boleh digunakan sebagai tempat untuk menganjurkan majlis-majlis perkahwinan atau sebagainya.