Belia adalah bakal pemimpin yang akan menerajui negara. Belia-belia di Felda Medoi mempunyai matlamat sendiri untuk menentukan masa depan mereka. Kebanyakan mereka berhijrah ke bandar-bandar besar untuk bekerja dan ramai juga yang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Padang permainan di Felda Medoi biasanya akan lebih meriah apabila tibanya musim cuti persekolahan. Pada waktu ini jugalah banyak aktiviti yang dianjurkan untuk mengisi masa lapang dan bagi mengelakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak mendatangkan faedah.

 

Dalam bidang sukan, kebanyakan belia di sini aktif bermain bola sepak, futsal, badminton dan juga sepak takraw. Malah, mereka terlibat dalam sukan “paint ball” yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu seperti persatuan-persatuan belia, Majlis Perbandaran Segamat dan juga Pejabat Daerah. Penyertaan mereka dalam aktiviti sukan antara lain mengeratkan pergaulan dan perpaduan di samping dapat menyihatkan tubuh badan.

 

Biro Belia sering kali mengadakan aktiviti riadah dan sering kali juga menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh kampung-kampung sekitar. Felda Medoi mempunyai Wisma Belia yang menjadi tumpuan penduduk menjalankan aktiviti riadah mereka. Selain  Wisma Belia, padang yang terdapat di felda itu juga dijadikan sebagai salah satu lokasi bagi penduduk menjalankan aktiviti riadah. Jarak kawasan-kawasan riadah itu terletak kira-kira 500 meter hingga satu kilometer.

 

Wisma Belia diselenggara oleh majlis tempatan dan JKKK. Penduduk yang ingin menjalankan aktiviti perlu memberitahu pihak pengurusan supaya mereka dapat menyediakan gelanggang dan kemudahan-kemudahan lain yang boleh digunakan. Gelanggang-gelanggang yang terdapat di situ ialah gelanggang sepak takraw dan badminton. Bola sepak merupakan aktiviti yang paling digemari oleh penduduk Felda Medoi dan kebanyakan penduduk sekitar. Perlawanan bola sepak sering dijalankan di padang Felda Medoi dan juga kawasan-kawasan sekitar. Biro belia turut bercadang membuka kawasan futsal untuk belia-belia melakukan aktiviti waktu petang bagi mengisi masa lapang.