Pendidikan di Felda Medoi

 Terdapat 3 buah sekolah di Felda Medoi iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan LKTP Medoi, Sekolah Agama Felda Medoi, dan Tadika KEMAS Felda Medoi.

 

Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Medoi

Sekolah rendah yang terdapat di Felda Medoi ialah Sekolah Rendah Kebangsaan LKTP Felda Medoi. Seramai 200 orang pelajar dan sebanyak 8 kelas dibuka bagi memuatkan sekurang-kurangnya 40 orang pelajar di dalam satu kelas. Kelas-kelas yang ada di sini ialah Prasekolah, Pendidikan Khas, dan kelas Tahun 1 hingga Tahun 6.

 

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan LKTP Medoi telah dibina di atas sebidang tanah seluas 6.74 ekar. Bangunan sementara digunakan untuk menampung seramai 194 orang murid. Bangunan kekal dibina pada tahun 1964, dengan diterajui oleh Allahyarham Encik Hassan Mohammad sebagai Guru Besar pertama bersama 4 orang guru penolong.

Padang sekolah mula dibina pada tahun 1965, manakala bangunan pertama telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, YB Mohd Khir Johari pada 20 Februari 1966 dengan motto sekolah
 ”Budi Dan Pengetahuan Dasar Kehidupan”Pada tahun 1968, satu lagi bangunan tambahan telah dibina dengan 3 buah bilik darjah yang juga telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran.

Pada tahun 1983, sebuah lagi bangunan tambahan telah dibina. Kemudian pada tahun 1996, Kelas Pendidikan Khas telah dibuka di sekolah ini bagi pelajar-pelajar istimewa dan yang bermasalah dalam pembelajaran. Kini, SK LKTP Medoi turut dilengkapi dengan sebuah makmal komputer yang telah siap dibina pada tahun 2001. Pada akhir tahun yang sama, sekolah ini telah menukar logo dan menjejak matlamatnya berdasarkan motto sekolah yang baru iaitu
 “Pengetahuan Asas Kehidupan”.

Pada tahun 2007 sebuah lagi bangunan telah siap dibina dengan menempatkan pelajar-pelajar Prasekolah seramai 25 orang, seorang guru dan seorang pembantu pengurus murid. Pada tahun yang sama juga, kelas jQAF telah mula diajar kepada pelajar-pelajar Tahun 1, seterusnya menjadikan sekolah ini berkembang setaraf dengan sekolah-sekolah lain.

Pada 15 Mei 2009, sekolah ini telah mendapat tambahan bangunan baru sebanyak 3 tingkat yang dilengkapi dengan makmal sains, kantin, bilik darjah dan pusat akses. Ia dijangka siap pada bulan Jun 2010. Bangunan asal iaitu blok B akan dirobohkan untuk dijadikan Dataran Kejat.