Golongan wanita di Felda Medoi merupakan golongan yang dipandang tinggi kerana semangat juangnya. Mereka adalah insan yang menjadi peniup semangat kepada suami ketika peringkat awal meneroka tanah Felda. Kini setelah berpuluh tahun berlalu, hasil titik peluh mereka telah dapat dinikmati dan dikongsi sekeluarga. Tentulah tidak boleh dinafikan peranan mereka bukan sahaja kepada kejayaan tanah yang diteroka tetapi juga kepada keluarga.

 

Pada masa yang sama, mereka juga melibatkan diri dalam kegiatan sosial, masyarakat dan juga keagamaan. Pada masa terluang, wanita Felda Medoi turut menghadiri majlis bacaan yasin pada setiap Isnin di Masjid Jamek Medoi. Wanita juga mengikuti kelas-kelas menjahit dan sulaman seperti menjahit manik dan baju. Kelas jahitan ini diadakan seminggu sekali bertempat di Perpustakaan Felda Medoi.

 

Walaupun kelas-kelas seperti ini tidak diberikan secara percuma, namun bayarannya tidaklah terlalu mahal. Kelas belajar menjahit manik hanya dikenakan RM15 sebulan berbanding di bandar yang yurannya lebih mahal. Kelas-kelas tersebut dihadiri seramai 20 orang suri rumah yang dibimbing oleh Penyelaras Perpustakaan itu sendiri.