Berdasarkan kajian, Daerah Segamat digelar dengan pelbagai gelaran termasuklah Segar Amat dan Daerah Sumpahan Malim Deman.

 

Salah satu penduduk asal mendakwa tahu secara terperinci  mengenai asal usul Daerah Segamat. Menurutnya, nama Segamat diambil ketika Bendahara Tepuk dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Kuala Sungai Muar ketika  bumi Melaka ditakluk oleh Portugis. Dari Sungai Muar, mereka tiba di Pengkalan Lubuk Batu dalam Daerah Segamat, Johor. Mereka membuat pertempatan di kawasan tersebut. Bendahara Tepuk telah mandi di sungai tersebut yang jernih dan sejuk menyegarkan tubuh Bendahara. Lantas Bendahara Tepuk memberitahu pembantunya, “Segar amat badanku ini”. Dari perkataan “Segar Amat” yang dilafazkan oleh Bendahara itu lahirlah nama“Segamat”.

(sumber: Segamat, Sejarah & Mitosnya, 1996)

 

Sejarah pembukaan Felda Medoi

 
Felda Medoi terletak lebih kurang 9km dari Bandar Segamat. Dibuka pada tahun 1969 dan mempunyai jumlah penduduk seramai 800 orang pada masa itu. Felda Medoi juga merupakan Felda yang tertua di Daerah Segamat. Ia mempunyai pelbagai kemudahan termasuklah kemudahan api dan air serta sistem jalan raya yang bertar.
 

Menurut cerita, nama Medoi diperolehi sempena nama Tok Medoi yang membuka kawasan Felda Medoi ini. Kawasan ini dahulunya adalah kawasan hutan tebal yang mempunyai pokok-pokok sebesar sepemeluk setiap satunya. Malah di kawasan ini juga terdapat banyak binatang buas.

 

Tok Medoi dikatakan terlalu berani dan mempunyai ilmu yang sangat tinggi. Beliau bersala dari Jambi, Sumatera. Disebabkan ilmunya yang sangat tinggi, beliau boleh berubah bentuk menjadi harimau jadian atau dikenali sebagai harimau kerinci atau cinaku. Binatang-binatang buas seperti harimau atau ular tidak dapat melawan keberanian Tok Medoi. Tok Medoi juga dikatakan pernah dipatuk ular tetapi tidak memberi apa-apa kesan terhadap dirinya.

 

Suatu hari, penduduk kampung gempar apabila Tok Medoi dikatakan ghaib. Puas penduduk mencari tetapi tidak berhasil. Setahun selepas kehilangan Tok Medoi, gempar seluruh kampung mengatakan mereka terjumpa sebuah kubur yang mempunyai batu nisan bersalut dengan kain kuning di tepi sebuah sungai ketika mereka hendak mandi di sungai kedondong tersebut. Penduduk kampung berpendapat kubur itu kepunyaan Tok Medoi yang hilang setahun yang lalu. Kubur itu dikatakan sentiasa berbau wangi bermula ketika senja hingga larut malam, namun bau itu hilang sebaik tiba waktu subuh.

 

Penduduk kampung mempercayai kubur itu adalah kubur keramat Tok Medoi. Mereka sentiasa membersihkan kubur tersebut dan memagarnya. Namun, apabila tanah hutan itu dikerjakan untuk dijadikan Felda, keramat Tok Medoi tertimbus dan semenjak itu tiada siapa yang bertemu dengan Keramat Tok Medoi.

(Sumber: Segamat, Sejarah & Mitosnya, 1996)