Menjelang raya yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi pastinya kita tidak ingin berhenti dalam mengumpul pahala. Hari Raya Aidilfitri atau dalam bahasa arabnya (الفطر عيد) mempunyai pengertian yang sangat istimewa untuk seluruh umat Islam. Eid (عيد) bermaksud kembali manakala fitri (فطر) bermaksud fitrah yang mana membawa maksud “kembali kepada fitrah”. Makna dari perkataan fitrah di sini menunjukkan kepada kejadian manusia yang suci bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan.
Justeru itulah, hari raya Aidilfitri ini disambut dengan penuh kegembiraan bagi meraikan kembalinya kita kepada fitrah. Walaupun begitu, meraikan hari raya Aidilfitri juga merupakan satu ibadah jika ia dilaksanakan dengan betul dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Berikut dikongsikan beberapa amalan sunat yang boleh dilakukan pada hari raya aidilfitri nanti.
1. Menghidupkan Malam Raya
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati” (H.R Ibnu Majah)
2. Mandi Sunat Hari Raya.
Mandi sunat hari raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya. Waktu mandi sunat ini diharuskan bermula dari tengah malam manakala waktu yang disunatkan pula adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari. Sebelum mandi, jangan lupa untuk baca lafaz mandi sunat seperti yang berikut:
نويت الغسل لعيد الفط سنة لله تعلى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”
Kemudian, mandilah seperti biasa seperti mana yang kita lakukan setiap hari.
3. Memperbanyakkan takbir
Kita disunatkan melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah dilihat dengan jelas dan diteruskan lagi sehingga 1 Syawal.
4. Memakai pakaian yang indah
Pakaian yang indah di sini bukanlah bermaksud pakaian yang mewah dan baru. Sebaliknya pakailah sesuatu yang istimewa mengikut kemampuan diri kita dan elakkan dari membazir. Sekiranya baju tahun lepas masih cantik dan bagus untuk dipakai, maka tidak salah untuk kita memakainya.
5. Memakai haruman
Imam Syafie pernah berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
6. Makan/Menjamah Sebelum Keluar Rumah
Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma
7. Ziarah Menziarahi Sesama Muslim Merapatkan Hubungan Persaudaraan/Silaturahim
Nabi pernah bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.
( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)