2021, tahun baru yang agak asing dari tahun kebiasaan seperti sebelum ini. Buat pertama kalinya kita tidak menyambut ambang tahun baharu tempoh hari dek kerana pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Namun itu bukan lah penghalang buat kita untuk tidak bersemangat untuk memulakan tahun 2021 ini. Setiap tahun kita pasti akan ada matlamat atau impian yang ingin dicapai, ingin disempurnakan bagi tahun tersebut, begitu juga bagi tahun ini, walaupun agak sedikit berlainan tapi kita pasti ada matlamat yang ingin dimakbulkan sehingga ke penutup tahun ini.
Sepanjang tahun berbagai peristiwa baik dan buruk yang akan kita lalui. Antaranya termasuk putus hubungan, kematian, mendapat pekerjaan baharu, kelahiran baharu dan sebagainya. Namun walau apapun yang kita lalui pahit atau manis, kita hendaklah sentiasa menaik taraf kehidupan kita ke taraf baharu. Oleh yang demikian terdapat beberapa perkongsian yang ingin dikongsikan, atau nama lainnya ialah Resolusi 2021 yang meliputi mungkin hobi atau aktiviti-aktiviti positif lain yang dapat menambah baik kehidupan kita.
Dalam kita hendak merealisasikan resolusi tahun baharu, kita hendaklah tahu tujuan yang jelas. Kita tahu apa matlamat kita, tujuan kita, kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang ingin dicapai oleh kita. Dikongsikan di sini beberapa jenis resolusi yang kita boleh amalkan bersama.
Pertama mungkin belajar bahasa baharu. Walaupun bahasa pertama kita adalah Bahasa Melayu dan bahasa kedua adalah Bahasa Inggeris, tidak salah rasanya kita belajar bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Korea, Bahasa Jerman, Bahasa Thailand dan sebagainya yang sememangnya agak asing dalam komuniti kita. Kebaikan yang mungkin kita akan perolehi adalah termasuk boleh dimasukkan ke dalam resume atau digunakan ketika melancong ke luar negara sewaktu sempadan negara akan dibuka kelak.
Mungkin, pada tahun sebelum-belumnya kita mengalami patah hati, atau kehilangan orang yang dekat dengan kita atau mungkin kita seorang yang introvert tidak salah bagi tahun baru ni kita berkenalan dengan kenalan baharu. Melalui kenalan juga, kita akan dapat membuka mata dan minda kita lebih luas. Mengenali seseorang bukan sahaja sekadar membaca perangainya, namun kita juga boleh mengambil sedikit ilmu dan pengalaman darinya. Bercampur dengan seseorang yang luar biasa dari komuniti yang kita punyai sekarang adalah juga satu bentuk pelajaran untuk mematangkan cara berfikir dan menerima pandangan seseorang yang pastinya banyak kebaikan akan diperolehi oleh kita.
Resolusi yang kita boleh amalkan mungkin ini mempunyai banyak kebaikan dari segi kesihatan. Jujur kebanyakkan daripada kita suka tidur lewat. Hal ini akan mengakibatkan, keesokkan hari kita menjadi cemas, letih, tidak fokus sekali gus akan menyebabkan kita mudah marah dek kerana kita cuai dalam melakukan kerja. Lebih baik bagi tahun ini kita mula mengamalkan untuk tidur awal. Kesan positif serta merta dapat kita lihat jika kita konsisten mengamalkan tidur awal ini.