Sebagai peneroka Felda dan tinggal di dalam persekitaran yang sedikit berbeza berbanding taman perumahan, tidak menghalang penduduk berhubung atau berurusan dengan penduduk di luar kawasan Felda. Di kalangan penduduk Felda dan kampung sekitar, kehidupan mereka saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Misalnya, dalam kehidupan seharian, mereka menggunakan perkhidmatan atau prasarana secara bersama. Anak-anak peneroka ada juga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah di kampung yang berdekatan, selain bersekolah di sekolah rendah di Felda Medoi ini.

     

         Kampung-kampung yang berjiran dengan Felda Medoi antaranya ialah Kampung Logah, Kampung Padang Lalang, Kampung Jawa dan Kampung Abdullah. Penduduk kampung-kampung ini juga melibatkan diri dalam kegiatan pertanian. Manakala bandar yang terdekat ialah Segamat dan Labis. Di kalangan penduduk Felda dan penduduk kampung, hubungan mereka dikukuhkan melalui penyertaan dalam aktiviti-aktiviti sukan, agama dan kemasyarakatan yang dianjurkan termasuk juga majlis-majlis pertunangan, perkahwinan, kematian dan lain-lain. Anak-anak peneroka di sini membesar dan bersekolah hasil daripada pertanian getah dan kelapa sawit . Ramai anak-anak peneroka yang telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Sebagai peneroka, kebajikan mereka juga dititikberatkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) termasuk hal-hal yang berkaitan dengan penanaman dan penjualan hasil dan juga persekolahan anak-anak.

 

         Bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup para peneroka, mereka digalakkan menceburi kegiatan lain seperti menanam sayur-sayuran dan juga menternak binatang. Lembaga Getah Malaysia (LGM) menawarkan beberapa bantuan kepada peneroka yang berminat untuk menternak kambing. Oleh itu, penternakan kambing secara berkelompok telah dimulakan pada tahun 2007 dan telah menempa beberapa kejayaan.  

 

          Pada masa yang sama, segelintir peneroka melibatkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit, kedai jahitan pakaian, membuat kuih bahulu, kuih-muih tradisional dan bengkel kenderaan bermotor. Anak-anak peneroka pula ada yang berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Segamat dan Labis. Sebahagian yang lain pula berkhidmat di sektor swasta seperti di bank, syarikat telekomunikasi dan lain-lain. Ada juga anak-anak peneroka yang berkhidmat di Pejabat Felda Medoi sebagai kakitangan pejabat atau tenaga pengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Medoi.